Monday, February 16, 2009

Kahwin Untuk Apa??

Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu syok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya, “Kahwin untuk apa?” Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz mengulas kemelut ini.

Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda,
‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’
Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.

Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah.

Bila kita berhubung dengan Allah sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah. Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah, syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.

Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah datangkan istidraj… kadang-kadang Allah beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah. Ini formula yang tak boleh dilanggar.

Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?
Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?
Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah dulu. Kenal pasti apa yang Allah suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah.

Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah, kita minta pun dengan Allah. Allah taala akan pandu dalam usaha kita. Allah beri panduan. Allah tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah.

Jadi usaha mesti dengan Allah dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah.Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.

Dalam soal ini, Allah kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.
Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.

Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah, Allah tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.
Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah. Allah juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah, apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah pandu kita. Allah hanya akan memandu orang yang beriman.
Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?
Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.

Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?
Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.

Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat. Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah tapi bertambah jauh dari-Nya.

Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.
Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.

Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?
Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.

Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.


Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin?
Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah. Orang yang kahwin kerana Allah akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah untuk mendapatkan pasangan.

2 comments:

Itminaan said...

Assalamualaikum....
Saya terpanggil untuk comment pd saudara bile terbaca blog saudara ni.
Harap comment ni tak mengganggu.
Sebenarnya saya tertarik dengan cerita saudara pasal " seorag wanita alim" yang saudara kehilangan tu. Misteri je bunyi nye..
Bukan nak ceroboh privasi, jut want to share my experience. Coz sy jugak tersedar dr lena dan kelalaian, disebabkan oleh seorang kawan saya masa sy study dulu. Tgk dia alim sangat, 17 tahun, boleh bagi ceramah pasal Allah dan Nabi SAW!Tersentuh sangat dengan kealiman dia.
Alhamdulillah, Allah kurniakan hidayah pd sesiapa yang Dia suka.Dan siapa yang dapat kesedaran agama tu...sungguh la bertuah!
Belajar kerana Allah, supaya jd orang yang berguna kepada Agama, keluarga dan masyarakat. Islam perlukan para cendiakawan yang dapat menyebarkan agama....Salam ...

hamba_yg_lemah said...

walaikumsalam..
xde ganggu pun..ade ye sy cite..hehe..Alhamdulillah..sy pun tersedar jgk..Alhamdulillah walaupun kejap..bersyukur sgt..time kasih bg comment yg membina..InsyaAllah akan di amalkan..time kasih..Salam